Kes Denggi Catat Purata 900 Kes Seminggu

. Jumat, 20 Desember 2013

PUTRAJAYA – Situasi denggi di seluruh negara tahun ini membimbangkan dengan purata lebih 900 kes dicatatkan setiap minggu berbanding sekitar 400 tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

“Ini menyebabkan jumlah kes tahun ini meningkat sebanyak 35 peratus setakat ini berbanding tempoh sama tahun lepas. Dari Januari sehingga 21 Sept, sebanyak 21,453 kes dicatatkan berbanding 15,950 kes pada 2012,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata daripada jumlah itu, 47 peratus atau 10,051 kes dilaporkan di Selangor yang kebanyakannya berlaku di daerah Petaling dan Hulu Langat.

Jumlah kematian akibat denggi juga meningkat tahun ini dengan 45 kematian dilaporkan berbanding 27 kes untuk tempoh sama tahun lepas, kata beliau.

Dr Subramaniam berkata pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati pembiakan aedes banyak berlaku di tanah atau lot kosong, rumah terbengkalai, kilang, taman rekreasi, sekolah, tapak pembinaan dan tempat pembuangan sampah.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa kaedah ‘fogging’ hanya berkesan untuk jangka pendek.

“Fogging akan diteruskan. Pada masa sama kita minta kerjasama orang ramai dan agensi berkaitan untuk memastikan kebersihan tempat-tempat ini atau mengurangkan tempat pembiakan aedes di dalam rumah atau di luar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata lembaga tatertib kementerian masih menyiasat kes dua anggota Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan yang didakwa memasukkan jentik-jentik ke dalam kolam takungan di sebuah bengkel kereta.

“Jika mereka terbukti bersalah, tindakan tegas akan diambil. Hanya kerana seekor kerbau bawa lumpur, habis semua terpalit,” katanya.

Dalam kes itu, dua anggota terbabit dirakam menerusi kamera litar tertutup memasukkan jentik-jentik ke dalam kolam takungan berkenaan.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata fasa pertama penggunaan ‘genetically modified male mosquitoes,’iaitu nyamuk yang diubah suai secara genetik bagi mengawal populasi nyamuk aedes, telah selesai dijalankan Bentong, Pahang.

Katanya fasa kedua masih dalam perbincangan dengan pihak yang berkaitan. – BERNAMA

0 komentar: